Salah satu makanan tradisi istimewa dari negeri Kelantan adalah
serunding daging. Di Kelantan lebih di kenali dengan nama
sambal daging. Ada beberapa tempat di Kelantan yang menghasilkan serunding daging ini tetapi yang paling tersohor adalah di
Kampung Laut, Tumpat.Ramuan asas serunding dibuat dengan menggunakan
daging lembu, rempah ratus khas, lada kering asli (bukan cili bor), santan, ketumbar, bawang merah, bawang putih, garam, gula secukup rasa dan beberapa bahan lain lagi.
Pembuatan serunding adalah secara tradisional yang diwarisi dari orang tua yang diperturunkan kapada generasi kini. Kebanyakan pengeluar terdiri daripada pengusaha industri kampung, yang mengusahakan secara kecil-kecilan didalam bangsal khas yang dibina tepi-tepi rumah.
Sambal Daging
dimasak di dalam kawah-kawah tembaga dan tidak dibuat dengan mesin secara kuantiti yang banyak sekali gus , kerana jika dibuat dengan mesin, daging akan menjadi hancur dan lumat.
Daging disiat-siat dengan menggunakan cara tradisional ia itu
dengan tangan supaya gentian daging tidak rosak dan hancur. Proses ini memerlukan kemahiran yang khusus.
Proses ini adalah rumit, daging yang terpilih
dikukus sehingga 6-8 jam, selepas disejukkan ianya
diracik-racik dan disiat-siat menjadi gentian daging yang selari memanjang bentuknya. Selepas itu barulah dimasak didalam kawah tembaga bersama dengan santan kelapa, beberapa jenis rempah, lada dan garam mengikut sukatan tertentu dan
dikacau tanpa henti sehingga kering. Proses mengacau hingga kering ini mengambil masa
sehingga 5 jam.
Cara PenyimpananSerunding daging yang dimasak sehingga kering dengan cara yang betul boleh disimpan sehingga
1 tahun lamanya selepas dibungkus, amat sesuai jika dibawa untuk merantau ke luar negara, seperti jemaah haji yang menunaikan haji, atau pelajar yang menuntut di luar negara.
Selepas dibuka dari pembungkus, sambal daging ini disyorkan
disimpan pada suhu bilik, dalam
bekas kedap udara. Tidak digalakkan disimpan dalam peti sejuk, kerana akan mengurangkan rasanya dan masuk angin. Jangan simpan dalam tempat yang panas, seperti dalam but kereta. Hendaklah dihabiskan dalam tempoh tidak lebih dari 3-6 bulan bergantung kepada cara penyimpanan.
Cara MakanSerunding atau sambal daging ini boleh dimakan terus begitu sahaja,sebagai lauk
dimakan dengan nasi,nasi impit,lemang,roti dan juga boleh dibuat sebagai
inti kuih karipap, serta beraneka kuih lain lagi.